
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes pembunuhan tragis melibatkan dua beranak yang ditemui mati akibat ditetak di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru, malam kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut memandangkan motif pembunuhan masih belum dikenal pasti.
“Motif kes ini belum jelas. Namun, semua bahan bukti yang diperoleh di lokasi kejadian akan digunakan sepenuhnya bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menemukan sebilah pisau di kawasan semak berhampiran rumah mangsa, dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga suami kepada mangsa wanita ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Sariya Che Hin, 51, ditemui tidak bernyawa di dapur rumah dalam keadaan menyayat hati dengan kepala hampir putus akibat tetakan.
Anak perempuannya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, pula ditemukan di tingkat atas dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah.
Laporan bedah siasat mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat tetakan di bahagian belakang leher, dipercayai menggunakan pisau pemotong daging.






