
KUALA LUMPUR: Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak lagi dibenarkan beroperasi susulan pengumuman syarat kesihatan baharu Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah haji musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad berkata, syarat baharu itu akan dikuatkuasakan pihaknya dan perlu dipatuhi semua jemaah bagi memperoleh visa haji.
Beliau berkata, antara syarat yang ditetapkan kepada bakal jemaah ialah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak
terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
“Jemaah tidak dianggap layak mengerjakan haji sekiranya mempunyai keadaan atau penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik.
“Selain itu, turut tidak layak ialah mereka yang mengalami masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta penyakit kanser yang sedang dalam rawatan.,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mustakim berkata, TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.
“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di Tanah Suci. Atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata, bagi musim haji 1447H/2026M, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah.
Katanya, setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah daripada KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara, termasuk pengiring kepada jemaah warga emas serta kelainan upaya.
Beliau berkata, bagi mereka yang memerlukan rawatan lanjut, jemaah akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi pakar-pakar perubatan KKM.
“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.
“Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM,” jelasnya.
Tambah beliau, jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca panas.





