
TOKYO: Penyerang Jepun, Kazuyoshi Miura telah menandatangani perjanjian pinjaman sehingga Jun bersama kelab divisyen ketiga Jepun, Fukushima United.
Pemain yang bakal mencecah usia 59 tahun pada Februari kelak merupakan pemain bola sepak profesional tertua di dunia.
Perpindahan terbaharu itu merupakan perjanjian pinjaman keempat Miura yang lebih dikenali sebagai King Kazu sejak 2022 daripada J2 League, Yokohama FC.
Ia sekali gus membuka peluang kepada Miura beraksi semula dalam J.League buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.
Miura berkata, perpindahan ke Fukushima United FC membuka cabaran baharu dalam karier bola sepaknya.
“Saya berjanji kepada para pemain, barisan kejurulatihan, peminat, penyokong, rakan kongsi serta komuniti setempat Fukushima United FC akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan.
“Semangat dan kecintaan saya terhadap bola sepak tidak akan pernah berubah walaupun usia semakin meningkat.
“Saya amat bersyukur atas peluang untuk beraksi bersama Fukushima United FC dan tidak sabar untuk bersaing dengan penuh semangat sebagai sebahagian daripada pasukan ini,” katanya pada laman rasmi Fukushima United FC.
Penyerang itu memulakan kerjaya profesional bersama kelab Brazil, Santos, pada 1986 dan pernah beraksi di beberapa kelab Eropah seperti Itali (Genoa), Croatia (Dinamo Zagreb) serta Portugal (Oliveirense) sepanjang kariernya.
Miura menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan untuk Jepun sejak debutnya pada 1990, tetapi pernah diketepikan daripada skuad untuk penampilan pertama mereka di Piala Dunia 1998, sebelum bersara daripada skuad kebangsaan pada 2000.







