
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat hukuman yang dikenakan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kelihatan tidak seimbang terutama apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa terdahulu.
FAM dalam kenyataan rasmi berkata, akan menilai perkara tersebut dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh.
“Sepanjang prosiding ini, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyelian yang berlaku.
“Siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih berjalan.
“Pihak FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
FAM mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan oleh Mahkamah CAS berhubung rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut.
“Dalam keputusan tersebut rayuan FAM telah ditolak manakala rayuan para pemain pula telah diterima sebahagiannya dengan hukuman dipinda tetapi masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi.
“Alasan penuh bagi keputusan tersebut masih belum dikeluarkan, dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu akan dibuat selepas butiran penuh keputusan tersebut diteliti,” ujar kenyataan itu.
FAM menambah, keputusan berkenaan amat mengecewakan khusus bagi para pemain kerana tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran.
Kata kenyataan itu lagi, para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.
Dalam pada itu, FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh yang sukar ini.
Katanya, pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia.







