
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengakui pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang antara lain menyentuh soal penyatuan orang Melayu dan Islam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pertemuan berkenaan berlaku pada awal Disember tahun lalu ketika siri lawatan kerja ke Bangkok, Thailand.
“Baru-baru ini tidak ada (jumpa Hamzah), lama dulu ada. (Perjumpaan itu) tahun lepas.
“Pertemuan pemimpin itu bertumpu kepada cadangan kepada penyatuan parti politik Melayu dan Islam, bukan untuk tukar kerajaan yang ada sekarang,” katanya selepas menghadiri kunjungan bersama warga kerja FELDA di Menara FELDA, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin mendedahkan pertemuan Ahmad Zahid dan Hamzah di Bangkok dengan antara perbincangan untuk melantik bekas timbalan presiden Bersatu itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam perkembagan lain, ketika ditanya tentang kerjasama blok dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau memberitahu ia terlalu awal untuk sebarang kerjasama.
“Kita tunggulah nanti, masih terlalu awal. Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga maklum akan pertemuan pemimpin itu,” katanya.






