
PUTRAJAYA: Harga RON95 masih terkawal meskipun wujud konflik di Asia barat, namun kerajaan akan terus memantau situasi di rantau berkenaan dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat diminta agar sentiasa berjimat cermat serta mengikuti perkembangan terkini situasi di rantau yang sedang berdepan konflik tersebut.
“Dalam keadaan sekarang, nampak masih terkawal tetapi kita tahu kapal-kapal minyak dan gas tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal.
“Ini tentunya akan menjejaskan dari segi perniagaan, begitu juga kos pengangkutan kerana jalan lebih jauh terpaksa digunakan.
“Setakat ini, sepertimana saya umumkan, kita akan cuba kawal termasuk RON95 sekadar RM1.99 (seliter) tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Musolla IOI City Mall di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta rakyat negara ini agar tidak memandang ringan konflik berkenaan kerana ia turut akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Saya syor supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan penjawat awam, pekerja, peniaga agar waspada tentang perkara ini.
“Jangan pandang ringan kerana ia akan menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.
“Kerajaan akan ambil langkah segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan tidak dapat dielakkan,” katanya
Beliau menegaskan, kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat.
Anwar berharap media tempatan memainkan peranan berkesan dalam melaporkan perkembangan mengenai konflik berkenaan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat terkini serta bersiap sedia terhadap sebarang implikasi ekonomi.
“Saya lihat sekarang ini media nampak kurang tumpuan seperti apa yang dilaporkan oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.
“Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, amalan boros dan membazir. Minta tolong berjaga-jaga daripada sekarang,” katanya.







