
ALOR SETAR: Seramai sembilan daripada 11 suspek yang ditahan berhubung insiden tembakan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari lalu telah dibebaskan manakala dua lagi masih direman.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi di sekitar Bukit Kayu Hitam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, tangkapan melibatkan 10 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 60 tahun.
“Daripada jumlah sembilan yang dibebaskan itu, tujuh daripada mereka diberikan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan dua orang lagi diberi jaminan polis.
“Dalam pada itu, daripada sembilan yang dibebaskan itu, enam daripadanya dituduh mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 kerana positif dadah.
“Setakat ini, dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli menambah, pihak polis masih meneruskan siasatan dan meneliti semua keterangan bersabit insiden jenayah itu.
Beliau berkata, usaha membawa suspek yang bertanggungjawab ke muka pengadilan masih diteruskan setakat ini.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkan terus kepada pihak polis melalui talian MERS 999 atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superimtendan Rosli Hanafi di talian 019-2022210 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi pada 25 Februari lalu.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat daripada terkena peluru selepas tembakan dilepaskan suspek tidak dikenali.






