
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan telefon dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam bagi menilai perkembangan terbaharu di Asia Barat yang semakin tegang susulan serangan peluru berpandu dan ketegangan ketenteraan di rantau itu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi beliau, Malaysia menyatakan solidariti penuh terhadap Turkiye, terutamanya selepas insiden peluru berpandu balistik dikesan menuju ruang udara negara tersebut, yang menunjukkan rapuhnya keselamatan serantau ketika ini.
Anwar turut menyentuh pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran, termasuk Allahyarham Ali Khamenei yang berpotensi menjerumuskan Asia Barat ke situasi ketidaktentuan lebih serius dan berpanjangan.
Beliau dan Erdogan sependapat semua pihak perlu menunjukkan kawalan diri dan kebijaksanaan bagi mengelakkan ketegangan bertambah.
Anwar juga menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap peranan Erdogan sebagai suara dunia Islam dan usaha Turkiye bertindak sebagai perantara antara Washington dan Teheran untuk membuka ruang dialog serta penyelesaian diplomatik.
Malaysia turut menggesa semua pihak menurunkan ketegangan serta menghentikan tindakan ketenteraan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih luas.
Perdana Menteri menegaskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan, bukan tindakan yang meningkatkan risiko konflik.
Beliau juga menekankan pendirian Malaysia berhubung Palestin, menentang tindakan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat yang merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa.







