
KUALA LUMPUR : UMNO mengalu-alukan dengan mumbuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahlinya yang pernah dipecat atau digantung keahlian, termasuk individu yang mahu kembali bersama perjuangan parti untuk menyertai semula UMNO.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sempena bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala perbezaan serta kekhilafan lalu dianggap selesai bagi membuka lembaran baharu dalam usaha mengukuhkan kembali keluarga besar UMNO.
Menurut beliau, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian berdasarkan Perlembagaan UMNO.
“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti dengan mengambil keberkatan bulan mulia itu yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan dan memperkukuh ukhwah.
Beliau berkata, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi tetapi terbina atas sokongan, dukungan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.






