
KAJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan MyKad dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah itu merupakan usaha berterusan kerajaan bagi mengekang ketirisan subsidi, susulan larangan pembelian minyak masak paket oleh warga asing yang berkuat kuasa 1 Mac lalu.
“Sekarang ini, pembelian menggunakan kaedah kod QR, di mana orang ramai perlu mengimbas kod dengan rakan strategik KPDN.
“Apabila sistem terminal MyKasih dapat diintegrasikan, ia akan menghubungkan 10,000 peruncit kecil dan sederhana yang sudah didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program Edaran 3,000 Pek Bubur Lambuk dan Sumbangan Bakul Rezeki untuk Asnaf di Pasaraya Econsave Balakong.
Fuziah berkata, kerajaan menanggung kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan subsidi minyak masak paket dengan 951 kes direkodkan antara Februari 2024 hingga Februari 2026.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bekalan mentah menjelang perayaan mencukupi dan harga masih terkawal.
“Walaupun situasi perang di Asia Barat masih berlanjutan, setakat ini ia belum menjejaskan bekalan atau harga,” katanya.




