
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Vivy Yusof, 38, dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar, 37, mendapatkan pasport antarabangsa secara sementara bagi membolehkan mereka menguruskan permohonan visa menunaikan ibadah haji.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj, yang mewakili pasangan itu, bagi penggunaan pasport bermula hari ini sehingga Isnin depan.
“Pasport akan diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 9 Mac ini,” kata hakim.
Peguam Shaarvin memaklumkan, pelepasan sementara itu membolehkan pasangan suami isteri tersebut menguruskan visa, sebelum menempah tiket ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry tidak membantah permohonan tersebut.
Pada 5 Disember 2024, Vivy Yusof atau nama sebenar Vivy Sofinas Yusof dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah bagi tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa melakukan pecah amanah sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd, dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank syarikat kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 21 Ogos 2018 di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.







