
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus.
Pada paras ini, MPC menilai dasar monetari masih sesuai serta terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negara,” katanya dalam kenyataan.
Bank pusat memaklumkan bahawa berasaskan kekuatan ekonomi pada 2025, pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, inflasi yang semakin reda, pelaburan teknologi yang berterusan serta sokongan dasar fiskal dan monetari.
Namun, konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi global.
“Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik. Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global,” jelas BNM.
BNM menjelaskan selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.
“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” tambahnya.
Menurut BNM, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negara yang giat.
Momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negara yang berdaya tahan.





