
ALOR SETAR : Dasar baharu yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu mulai depan akan menyaksikan mereka berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seawal usia 16 tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut sebenarnya telah dipraktikkan di Akademi Sains Pendang, Kedah, apabila sebahagian pelajar menduduki SPM lebih awal berbanding kebiasaan.
Jelas beliau, pengalaman itu membuktikan sistem pendidikan negara mempunyai keupayaan untuk menampung dan melaksanakan dasar baharu tersebut dengan berkesan.
“Tak ada masalah. Dasar pendidikan masih sama iaitu sekolah rendah enam tahun dan menengah lima tahun. Kalau dasar baharu ini dilaksana, tempoh persekolahan tetap sama.
“Jadi pelajar akan ambil SPM pada umur 16 tahun dan memang sudah ada anak-anak kita ambil pada umur itu di Akademi Sains Pendang.
“Jadi bukan benda baharu kerana kita sudah ada pengalaman. Ini kerana ada anak-anak kita yang telah bersedia lebih awal daripada umur mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini.
Mengulas mengenai keperluan meletakkan pembantu guru bagi membantu guru mengajar murid Tahun Satu berusia enam tahun, Fadhlina menjelaskan, pembantu guru akan ditempatkan di sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai.
Menurutnya, sistem sekolah masih ikut arus perdana dan ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan dasar baharu berkenaan.
“Jadi jangan risau kerana guru memang sudah terlatih untuk mendidik murid pada usia enam tahun ini.
“Ini bukan perkara asing, ia berlaku di seluruh dunia dan ia memberikan keyakinan bahawa tidak ada anak yang tercicir dalam sistem pendidikan,”ujarnya.





