KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan sebarang pengalihan penghadang konkrit di lokasi kemalangan maut di KM52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) di Kuala Berang, Terengganu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat mengenai pihak yang mengalihkan tanda amaran serta penghadang konkrit di lokasi kemalangan di Hulu Terengganu baru-baru ini.
Beliau menegaskan, ia sebagai langkah membantu siasatan insiden melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 61 meter.
“Perbuatan (mengalihkan tanda amaran serta penghadang konkrit) tersebut serius kerana kawasan berkenaan dilengkapi langkah keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jika dakwaan (tanda amaran dan penghadang jalan) dialihkan, penting untuk kita tahu siapa yang mengalihkannya.
“Kementerian Kerja Raya memang tidak mengalihkan dan kita buat langkah keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Kementerian Kerja Raya sempena Himpunan Bulanan kementerian itu di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, seorang guru Sekolah Kebangsaan Lebir, Hassan Shazali, 52, dan pekerja kantin sekolah, Suzaimah Che Azis, 34, maut selepas kenderaan mereka terbabas ke dalam gaung di KM52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) sekitar pukul 5.30 petang.
Pasangan yang sedang merancang perkahwinan itu dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius.
Menurut polis, tanda amaran serta penghadang konkrit yang dipasang pihak berkuasa dipercayai dialihkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
