
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kelemahan tatakelola dalam jabatan atau agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi prosedur siasatan terhadap kes-kes rasuah yang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dalam isu berkaitan tatakelola agensi awam, pihaknya tidak boleh terus mencampuri urusan pentadbiran atau mengemukakan saranan secara langsung, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan Seksyen 7 Akta SPRM.
Katanya, SPRM berpandukan kepada dua perkara utama iaitu maklumat yang diterima serta hasil siasatan yang dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan dan aspek penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
“Melalui siasatan inilah kita akan melihat pelbagai perkara yang perlu diperbaiki. Namun, sebarang tindakan susulan memerlukan kerjasama dan persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian nota kerjasama antara SPRM dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), di sini, hari ini.
Azam berkata, SPRM tidak akan masuk ke mana-mana jabatan atau agensi awam semata-mata untuk menilai sistem dan prosedur pentadbiran yang sedia ada kerana perkara itu bukan dalam bidang tugasnya.
“Menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk meneliti sendiri sistem serta kelemahan yang wujud dan melaporkannya kepada SPRM.
“Apabila terdapat persetujuan bersama, barulah penyelesaian dapat dibentuk dan pemantauan akan dibuat,” katanya.





