
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden membakar suar yang didakwa membabitkan penyokong Selangor FC di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu pada 1 Februari lalu.
Istana Alam Shah memaklumkan, Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gengsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
“Baginda mahu pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda melalui kenyataan di laman sosial Selangor Royal Office, hari ini.
Dalam titahnya, Baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu media melaporkan, penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat apabila membakar suar, kelmarin disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Seramai 24 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan itu turut didapati positif dadah, termasuk tiga individu memiliki ganja dan erimin.







