
SEREMBAN: Sebuah premis makanan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari bermula semalam selepas didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula kepada pelanggan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap premis berkenaan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selain pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Menurut kenyataan JKNNS hari ini, pihaknya mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai tindakan pengendali makanan yang dipercayai mencuci saki-baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu.
“Makanan berkenaan didakwa merupakan lebihan masakan yang tidak habis dijual dan disimpan untuk dimasak semula pada keesokan hari. Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah restoran di Seremban,” katanya.
Susulan aduan tersebut, JKNNS menjalankan siasatan ke atas premis berkenaan dan mendapati wujud pelanggaran terhadap aspek kebersihan serta keselamatan makanan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan kerana ia boleh mengundang risiko keracunan makanan serta menjejaskan kesihatan awam.
“Pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan kebersihan makanan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya.
JKNNS turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ ketika memilih premis makanan, selain mengamalkan kaedah ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebagai langkah mudah mengelak risiko keracunan makanan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik premis berkenaan.
Menurut MBS, kompaun tersebut dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, mempamerkan iklan tanpa kelulusan serta gagal menjaga tahap kebersihan termasuk ketiadaan jadual pembersihan tandas.





