
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah membuka sebarang ruang atau peluang kepada ekspatriat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, MM2H hanyalah inisiatif strategik berbentuk pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa masuk berulang kali yang membolehkan warga asing menetap di negara ini bagi tempoh tertentu, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Sehingga hari ini, program MM2H tidak pernah menawarkan atau meluluskan permohonan kewarganegaraan.
“Taraf pemastautin tetap (MYPR) juga bukan kewarganegaraan, sebaliknya merupakan pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang alik yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia antara lima hingga 20 tahun,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut King Sing, MM2H dikelaskan kepada empat kategori utama iaitu platinum bagi tempoh 20 tahun, gold (15 tahun), silver (lima tahun) dan zon ekonomi khas selama 10 tahun.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN-Dungun) yang meminta penjelasan sama ada terdapat pemohon MM2H yang memperoleh kewarganegaraan melalui program berkenaan serta jumlah pembelian rumah oleh warga asing menerusi inisiatif itu sehingga tahun 2025.
King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 744 peserta MM2H direkodkan telah membeli kediaman di Malaysia.
Katanya, seramai 2,637 peserta masih berada dalam proses pembelian termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli serta mengenal pasti lokasi kediaman yang sesuai.
Dari segi statistik pembelian mengikut negara, China mencatatkan jumlah tertinggi dengan 304 unit kediaman, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34).
Negara lain yang turut merekodkan pembelian kediaman menerusi MM2H termasuk Australia melibatkan 29 pemohon, Bangladesh (19), Korea Selatan (15) serta Indonesia dan Jepun masing-masing 14 pemohon.





