
JOHOR BAHRU: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah rumah berhampiran ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai, tahun lalu.
Tertuduh, R. Arasan, 32, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat bersama abangnya, R. Utes, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama membunuh V. Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hamizi Mohd. Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.
Mahkamah menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah turut memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang juga suspek utama dalam kes penemuan enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis dan diiringi anggota keselamatan.
Kedua-dua lelaki warga tempatan itu mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa yang terlibat dalam kes berkenaan.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu selepas menemui rangka manusia ketika usaha mencari isteri serta anak-anaknya yang hilang.
Susulan penemuan tersebut, pasukan patologi forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat terhadap rangka yang ditemui di sebuah rumah berhampiran kuil terbiar itu.
Hasil siasatan mendapati enam mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.







