
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Beliau menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu berkenaan kerana boleh menjejaskan kepentingan negara dan hubungan dua hala selain menghormati usaha serta pengorbanan pegawai yang terlibat dalam penyelesaian isu persempadanan.
“Kita harus menggunakan kesempatan ini juga untuk mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pegawai-pegawai di bahagian hal ehwal persempadanan, topografi, Jabatan Peguam Negara, pemetaan serta anggota tentera yang terpaksa meredah hutan belantara bagi memastikan peta itu dapat dimuktamadkan.
“Jadi saya harap, walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai terlibat, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina. Jika tidak tahu bertanyalah dan jangan maki hamun,” katanya pada Sesi Penerangan Khas mengenai isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata berdasarkan rekod seawal 1919, kawasan seluas 5,207 hektar itu tidak pernah disahkan sebagai milik Malaysia dan tidak pernah dituntut sebagai wilayah negara.
“Pendirian kerajaan adalah jelas bahawa segala penentuan sempadan hendaklah berasaskan perjanjian dan konvensyen yang sah.
“Malaysia juga amat menghormati kesepakatan bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam menentukan sempadan darat antara kedua-dua negara,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan rundingan persempadanan Malaysia-Indonesia masih berjalan dan melibatkan beberapa perkara sensitif yang belum dimuktamadkan, antaranya isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah-Kalimantan Utara serta empat kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) di sektor Sarawak-Kalimantan Barat.
Beliau berkata, proses rundingan dan pengukuran sempadan itu telah berjalan selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan berperingkat, namun kerajaan berpandangan proses berkenaan harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa.
Pada masa sama, Anwar menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menyerahkan kawasan Ambalat, sambil menegaskan perkara itu belum dimuktamadkan dan menyifatkan tuduhan berkenaan dibuat tanpa merujuk fakta serta data yang tepat.
Beliau turut membidas kenyataan yang menuduhnya khianat kepada negara dan menegaskan perkara itu perlu diperbetulkan.
“Hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan haruslah dibincang dengan cara berhemah.
“Saya tidak ada masalah mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya, tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat kepada negara,” katanya.





