
MELAKA: Seorang wanita sanggup menukar alamat pada kad pengenalannya semata-mata untuk menjadi penduduk di Duyong, sebagai tanda kagum terhadap usaha dan kerja keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Lee Kim Choo, 55, yang menetap di Taman Ayer Keroh Permai, hadir ke Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh sempena Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/2026 bagi menukar alamat dan bertemu sendiri wakil rakyat berkenaan.
“Setiap hari saya akan buka Facebook untuk tonton kandungan yang dimuat naik oleh YB Helmy. Saya kagum dengan kerja keras beliau yang membantu semua penduduk di Duyong tanpa kira kaum.
“Ini kali pertama saya bertemu YB Helmy dan memang beliau seorang yang amat mesra dengan semua orang. Saya akan tinggal di Duyong jika pertukaran alamat ini diluluskan,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut berharap program HEBAT dapat dianjurkan setiap bulan kerana memberi peluang kepada rakyat mengemukakan aduan secara terus kepada EXCO berkaitan.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy memaklumkan terdapat beberapa individu yang menukar alamat ke Duyong dengan 50 kes direkodkan semasa Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong tahun lalu.
Katanya, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka.






