
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki tempatan kini diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan menyamun seorang wanita di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, lakaran fotofit suspek telah disediakan hasil siasatan susulan laporan yang diterima daripada mangsa.
Menurut beliau, mangsa berusia 25 tahun itu membuat laporan polis kira-kira jam 8.30 pagi pada hari kejadian.
“Siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku sekitar jam 7.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya singgah di sebuah stesen minyak di TTDI untuk mengisi angin tayar kenderaan,” katanya.
“Seorang lelaki yang menaiki motosikal dipercayai menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta bagi mengambil beg tangan yang berada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai ditumbuk suspek pada bahagian tangan dan kepala.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa,” katanya.
Menurut Chan Hook, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut mendapati motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.




