
KUALA LUMPUR: Seramai 120,000 pelajar di seluruh negara bakal menerima manfaat sumbangan set kit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sumbangan Yayasan MR. D.I.Y kepada Jabatan Muzium Malaysia (JMM).
Sumbangan tersebut bagi menyokong pengisian pelbagai program pendidikan dan aktiviti komuniti anjuran JMM di bawah Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, penajaan Yayasan MR D.I.Y merupakan satu sumbangan yang amat signifikan kepada ekosistem pendidikan negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha memperkukuh minat dan literasi STEM dalam kalangan generasi muda malah memperluas akses pembelajaran kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, sosio ekonomi serta geografi.
“Komitmen ini mencerminkan kepercayaan serta sokongan berterusan pihak yayasan terhadap peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal dan usaha pemerkasaan masyarakat.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi kementerian dalam membudayakan ilmu dan memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika Majlis Penyerahan Kit Stem Yayasan MR. D.I.Y kepada JMM di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengurusan Yayasan MR. D.I.Y, Mohd. Fadzrel Abu Bakar.
Haslina menambah, melalui pendekatan pendidikan STEM yang kreatif dan interaktif, ia bukan sahaja berupaya melahirkan generasi celik teknologi serta inovatif tetapi generasi yang mampu berfikir secara kritis, bekerja secara kolaboratif dan menghormati kepelbagaian.
Katanya, penyerahan sebanyak 120,000 unit Kit STEM dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.6 juta juga telah diterima bermula 8 hingga 13 Januari 2026.

“Muzium Negara juga telah mula membuat edaran Kit STEM ini pada 12 Januari lalu.
“Edaran tersebut bukan sahaja melibatkan kesemua 22 buah muzium di bawah seliaan JMM tetapi diperluaskan kepada 12 buah muzium negeri dan enam buah muzium institusi di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Kesinambungan kolaboratif yang telah terjalin sejak tahun 2025 itu, menjadikan Yayasan MR. D.I.Y antara rakan strategik utama dalam menyokong aspirasi JMM.
Antara program yang telah mendapat manfaat daripada sumbangan ini termasuklah Program Nostalgia Anak Kampung, Bermalam di Muzium, Ceria@Muzium,Muzium Bersama Komuniti sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa dan Sambutan Minggu Perpaduan.







