
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Geely Holding yang dimeterai pada Mei 2017 terbukti menjadi titik perubahan menyelamatkan dan memulihkan Proton Holdings Bhd (PROTON) sebagai jenama kereta nasional.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemeteraian perjanjian antara dua pemain industri pemotoran tersebut menyaksikan pengambilalihan 49.9 peratus pegangan dalam PROTON dengan menerima pelbagai pandangan berbeza tetapi ia merupakan langkah melindungi jenama kereta nasional tanpa membebankan pembayar cukai.
“Sembilan tahun selepas pemeteraian perjanjian tersebut, ia terbukti menjadi titik perubahan kepada PROTON dengan membalikkan kerugian kewangan bertahun-tahun serta memulihkan keyakinan orang ramai melalui pelancaran model-model popular seperti X70.
“Kebangkitan ini jelas tercermin melalui peningkatan pegangan pasaran PROTON daripada 11 peratus pada tahun 2018 kepada 19 peratus pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Proton e.MAS 7 kenderaan hibrid plug-in elektrik (PHEV) di sini, hari ini.
Johari menambah, pemulihan itu turut diterjemahkan melalui peningkatan penguasaan pasaran PROTON, yang meningkat daripada 11 peratus pada 2018 kepada 19 peratus tahun lalu sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik berkenaan.
Katanya, PROTON kini mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor automotif negara dengan menggajikan lebih 55,000 tenaga kerja, disokong rangkaian vendor tempatan yang luas merentasi rantaian bekalan industri.
“Transformasi PROTON melalui kerjasama DRB-HICOM dan Geely juga berlaku seiring perubahan struktur pasaran, apabila jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) mencatat pertumbuhan 52 peratus pada 2025.
“Perkembangan ini menyaksikan xEV merangkumi 8.5 peratus jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik membentuk 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada tahun berkenaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan PROTON yang mengguna pakai strategi pelbagai teknologi merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik (EV) dan PHEV melengkapi usaha Kerajaan untuk membangunkan ekosistem automotif yang lebih bersih serta inklusif.
Di samping pasaran domestik, beliau menambah, aspirasi automotif Malaysia juga perlu dilihat dalam konteks serantau dan global.
“Pada tahun lalu, eksport PROTON mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun dengan 6,000 unit, peningkatan kukuh sebanyak 26 peratus sekali gus mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai pengeksport automotif utama Malaysia.
“Momentum tersebut dijangka terus meningkat pada tahun ini dengan sasaran tinggi sebanyak 8,200 unit ke lebih 30 pasaran antarabangsa.
“Usaha tersebut menyokong objektif perdagangan negara dan memperkukuh kehadiran Malaysia di ASEAN serta pasaran global,” ujarnya.
Johari berkata, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan sumbangan dianggarkan lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira RM82 bilion, selain menyokong lebih 700,000 peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan berteknologi tinggi.
“Industri turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu sebanyak 820,752 unit, disokong purata pengeluaran melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh 2022 hingga 2025,” ujarnya.






