
SHAH ALAM : Seramai 31 individu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, yang berlaku pada awal pagi tadi.
Menurut laporan awal, nahas membabitkan bas ekspres, lori 10 tan milik sebuah syarikat keselamatan dan treler.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada jam 5.12 pagi.
Beliau menambah, seramai 16 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa serta Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Dalam bas ekspres, mangsa terdiri daripada 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak dan dua pemandu.
“Seorang daripada pemandu, lelaki berusia 39 tahun cedera pada bahagian kaki dan dikeluarkan anggota bomba pada jam 6.05 pagi manakala beberapa mangsa lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, pemandu lori 10 tan yang merupakan lelaki warga tempatan didapati tersepit dan belum dikenal pasti status kecederaan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan. Sementara kelindannya, lelaki berusia 39 tahun cedera ringan.
“Pemandu treler pula, mengalami kecederaan ringan pada bahagian leher,” ujarnya.





