
KUALA LUMPUR : Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan kembali menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 secara bersasar kepada komuniti India yang memerlukan pada tahun ini.
Bantuan tersebut akan diagihkan berdasarkan daerah yang mencatatkan kepadatan penduduk India tertinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pelaksanaan bantuan itu sebelum ini ditangguhkan kerana MITRA menumpukan perhatian kepada beberapa inisiatif lain.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI bagi masyarakat India menjelaskan, perancangan asal pada 2024 menetapkan bantuan RM100,000 diberikan kepada kawasan yang mempunyai populasi masyarakat India yang besar.
“Penentuan dilaksanakan berdasarkan daerah dan bukannya kawasan Parlimen, selaras dengan taburan penduduk India tempatan.
“Bagaiamanapun, pada tahun tersebut, ia tidak dilakukan kerana terdapat banyak program berlainan. Antaranya, pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, program tadika, kemudahan awam dan pekerja ladang.
“Saya boleh beri jaminan, tahun ini kita pastikan untuk buat semula program sama untuk berikan sedikit peruntukan tambahan secara bersasar sebab ahli Parlimen lebih tahu berbanding kita yang duduk di MITRA, masyarakat India yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai kesediaan MITRA mempertimbang memberikan dana khas kepada pusat khidmat Parlimen untuk disalurkan terus kepada masyarakat India yang memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Ramanan turut menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Kalam Salan (PN–Sabak Bernam) berhubung jaminan kerajaan bahawa MITRA mampu terus berfungsi dengan berkesan, meskipun kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang memikul pelbagai tanggungjawab besar.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan, penstrukturan tersebut tidak menjejaskan peranan teras MITRA sebagai agensi khusus yang diberi mandat merangka serta melaksanakan inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Menurut beliau, penyelarasan MITRA di bawah KESUMA mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memacu agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India secara lebih tersusun, menyeluruh serta berimpak tinggi.
“Langkah ini bertujuan memastikan perancangan pelaksanaan dan pemantauan program MITRA dapat dilaksana secara lebih teratur, sistematik dan berkesan selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran serta perlindungan sosial di bawah KESUMA.
“Pada masa sama, ia turut perkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan peruntukan serta program MITRA,” ujarnya.
Beliau berkata, KESUMA komited dalam membantu melaksanakan mandat MITRA melalui kerjasama rentas agensi dan pemantauan bersepadu serta penyelarasan dasar dengan fokus utama MITRA iaitu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.







