
KUALA LUMPUR: Dua program pembiayaan khas bernilai RM80 juta diperkenalkan bagi memperkasa perniagaan mikro dan kecil milik Bumiputera dan Cina sempena musim perayaan yang bakal tiba.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memaklumkan, program berkenaan merangkumi Skim Pembiayaan Perniagaan Rakyat Ramadan (BARAKAT) serta Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT).
Daripada jumlah keseluruhan itu, skim BARAKAT yang dikhususkan untuk peniaga Ramadan diperuntukkan sebanyak RM50 juta, manakala program BERKAT melibatkan peruntukan RM30 juta bagi usahawan Cina Malaysia.
Kedua-dua program tersebut masing-masing diuruskan oleh TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, pelaksanaan kedua-dua skim itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong peniaga dan usahawan mikro dan kecil khususnya ketika musim perayaan utama.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi ABCD bagi memastikan usahawan mendapat akses modal dengan lebih mudah serta proses permohonan yang lebih mesra,” katanya pada sidang media di SME Corp., di sini hari ini.
Beliau berkata, strategi ABCD merangkumi empat teras utama iaitu mempercepatkan produktiviti, pengurangan birokrasi, akses modal serta pembangunan akses pasaran.
Di bawah skim BARAKAT, individu layak menerima pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun serta tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.
Beliau berkata, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada peniaga dalam sektor makanan, pakaian dan barangan keperluan harian bagi menyokong perniagaan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, program BERKAT turut menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi setiap individu.
Ujar Steven, pembiayaan bagi program BERKAT akan disalurkan menerusi platform Peer-to-Peer (P2P), CapBay yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.




