
KUALA LUMPUR: Program SARA Untuk Semua yang menawarkan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan kelayakan bagi program berkenaan boleh dibuat mulai hari ini menerusi portal rasmi sara.gov.my.
Katanya, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memastikan semua warganegara mendapat manfaat tanpa perlu mengemukakan sebarang permohonan, memandangkan bantuan tersebut akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima.
“Tiada permohonan diperlukan dan bantuan ini akan dikreditkan terus ke MyKad masing-masing. Ia sah digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung jumlah peruntukan program SARA yang disalurkan melalui sistem MyKasih sepanjang tahun 2025 serta nilai sebenar transaksi yang dijana dalam pasaran tempatan.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah payung Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup menerusi bantuan bersasar tanpa tunai.
Amir Hamzah berkata, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut mengenai cadangan untuk memasukkan barangan basah sebagai kategori baharu di bawah program SARA, bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna dapat dipelihara sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Beliau turut memaklumkan sehingga 3 Februari lalu, jumlah rakan niaga SARA meningkat kepada 10,700 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 pada tahun 2024, dengan 3,000 daripadanya melibatkan peniaga kecil.
“Kami mengambil maklum penegasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperluas lagi jaringan SARA. Bagi tahun ini, sasaran peningkatan rakan niaga kedai runcit adalah sehingga 10,000 kedai,” katanya.
Menurut beliau, perluasan jaringan itu juga dijangka mengurangkan jarak liputan penerima kepada kedai runcit terdekat daripada 10 kilometer kepada sekitar tujuh kilometer.
Amir Hamzah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Zaliha berhubung kesediaan kerajaan menambah baik syarat serta tempoh kelulusan permohonan rakan niaga SARA, selain mempertimbangkan kemasukan barangan basah di bawah kategori produk program berkenaan.





