
IPOH: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memohon pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan hulu Lembangan Sungai Perak sebagai langkah mitigasi susulan kemarau berterusan yang berpotensi menjejaskan bekalan air negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, permohonan rasmi itu dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan fokus kepada kawasan strategik termasuk Tasik Temenggor dan Empangan Bukit Merah bagi meningkatkan peluang hujan serta mengelakkan gangguan bekalan air pengairan dan domestik.
Katanya, pelaksanaan OPA dicadangkan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi antaranya Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA), JPS, IADA Kerian, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pertanian, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Hasil pemantauan berterusan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati paras air Tasik Temenggor berada pada tahap rendah berikutan kemasukan air semula jadi yang terhad akibat taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan lalu, sekali gus memberi kesan rantaian kepada empangan di hilir.
“Keadaan itu menyebabkan pelepasan air dari Empangan Chenderoh terhad kepada sekitar 100 hingga 120 meter padu sesaat bagi memastikan kestabilan paras empangan, kesinambungan aliran Sungai Perak serta mengelakkan takungan memasuki zon operasi kritikal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nizar, kekangan pelepasan air tersebut bukan sekadar isu operasi empangan, sebaliknya berpotensi memberi implikasi lebih luas termasuk tekanan terhadap sektor pertanian dan pengairan di kawasan hilir, kesan sosioekonomi kepada komuniti setempat serta kemerosotan aktiviti ekopelancongan di Tasik Temenggor dan Tasik Raban.
Beliau memaklumkan paras air Empangan Bukit Merah kini berada pada 21.05 kaki dengan baki simpanan sekitar 10.84 juta meter padu, bersamaan 19.89 peratus pada paras kritikal pengairan tahap dua, sekali gus menyebabkan bekalan air pengairan sawah di Rancangan Pengairan Kerian dilaksanakan secara catuan, manakala bekalan air domestik kekal seperti biasa.







