
PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk membahaskan cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelantikan datuk bandar di Parlimen ketika ini kerana kerajaan masih belum menerima hasil kajian yang sedang dijalankan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kajian berkenaan masih di peringkat awal dan belum dibincangkan oleh Jemaah Menteri.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yeoh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.
“Kabinet belum membincangkan, jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di Parlimen.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan bagaimanapun terbuka menerima sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi Parlimen.
“Kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.
“Cuma waktu ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIA, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya.





