
KUALA LUMPUR: Dalam kebanyakan keluarga hari ini, telefon pintar bukan sekadar alat komunikasi, malah berperanan sebagai ‘pengasuh digital’ kepada kanak-kanak, sekali gus menjadikan keselamatan internet sebagai isu sosial dan kekeluargaan.
Pendedahan awal kanak-kanak kepada internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI), ditambah dengan peningkatan kes penipuan dalam talian yang semakin licik, mendorong keperluan mendesak untuk membentuk budaya penggunaan digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Kesedaran itu menjadi teras Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang akan berlangsung pada 8 Februari ini di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Berbeza dengan pendekatan konvensional yang sering sarat istilah teknikal dan amaran bersifat menakutkan, HKI 2026 memilih kaedah lebih dekat dengan iaitu mbawa isu keselamatan internet ke ruang awam melalui perbincangan santai, aktiviti keluarga dan pendekatan edutainment.
Bertemakan ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat’, HKI 2026 menekankan tanggungjawab digital dalam kalangan ibu bapa, remaja dan masyarakat, selari dengan cabaran semasa yang menyaksikan sempadan antara dunia fizikal dan digital semakin kabur.
Program ini merangkumi pocket talk tanpa jargon teknikal, pameran keselamatan digital, aktiviti interaktif serta kandungan mesra visual dan media sosial bagi memastikan mesej keselamatan Internet dapat difahami dan dihayati, khususnya oleh generasi muda.
HKI 2026 juga merupakan usaha membentuk kesedaran kolektif mengenai keselamatan internet boleh bermula di rumah melalui pilihan harian, sikap pengguna dan peranan keluarga sebagai benteng pertama dalam dunia digital.






