
KUALA LUMPUR : Ungkapan seperti Alhamdulillah dan Insya-Allah berakar daripada nilai keimanan kerana membawa makna pengakuan serta pujian kepada Allah SWT dan lafaz tersebut tidak semestinya eksklusif kepada penganut Islam.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, penggunaan ungkapan berkenaan boleh difahami dalam konteks budaya dan komunikasi harian tanpa terikat sepenuhnya kepada latar keagamaan individu.
“Dalam masyarakat majmuk, hukum penggunaan kalimah ini oleh bukan Islam bergantung kepada konteks dan niat, selaras dengan kaedah fiqh: “Ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata lafaz.”
“Ia dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab dan menghormati makna asal, tetapi tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna kerana boleh merendahkan kesucian agama,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Yusuf al-Qardawi dalam Fiqh al-Da’wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islami, Mohamed Azam berkata, lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi ia tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama.
“Ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum perlu mengambil kira niat, maksud dan konteks masyarakat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, IKIM menasihatkan umat Islam mengamalkan sikap husnuzon (bersangka baik) dan berhikmah dalam isu ini.
“Nabi Muhammad SAW memahami dan mendoakan hidayah bagi bukan Muslim selagi ungkapan mereka tidak menghina atau menyalahi akidah.
“Masyarakat bukan Islam juga perlu dididik memahami makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan. Pendekatan ini bukan sahaja menjaga kesucian lafaz Allah, malah adalah cara dakwah yang beradab, hikmah dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat,” tambahnya.





