
KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja menyatakan hasrat Malaysia kekal sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara itu, walaupun Malaysia tidak lagi memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasrat itu sekali gus menepis dakwaan ASEAN gagal menangani konflik serantau termasuk pertikaian antara negara anggota adalah kurang tepat.
Katanya, peranan Malaysia sebagai pemudah cara bukan kerana kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN sebelum ini tetapi atas permintaan daripada Thailand dan Kemboja.
“Saya rasa untuk menggunakan perkataan ASEAN gagal menangani isu serantau itu kurang tepat. Kalau kita ambil contoh masalah antara Kemboja dan Thailand, perkara itu dapat kita selesaikan.
“Malaysia menjadi pemudah cara kerana kedua-dua negara mahu Malaysia, bukan semata-mata kerana kita Pengerusi ASEAN pada tahun lalu. Sekarang Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN bagi 2026, tetapi kedua-dua negara masih mahu Malaysia memainkan peranan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata, beliau sudah meminta rakan sejawatnya mengemukakan permohonan secara rasmi bagi membolehkan Malaysia meneruskan peranan sebagai pemudah cara.
“Saya kata kepada rakan sejawat saya, tulislah surat kerana kita bukannya terlalu hendakkan peranan itu. Kita tidak mahu memikul beban, namun kedua-dua negara berasa amat selesa dengan Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai cadangan baharu Malaysia dari segi asas dan prinsip ASEAN, susulan dakwaan bahawa usaha penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja yang turut melibatkan Amerika Syarikat dilihat gagal apabila gencatan senjata dicabul berulang kali.
Mohamad memaklumkan ASEAN tidak mengiktiraf dua pilihan raya yang diadakan di Myanmar sebelum ini apabila tidak menghantar wakil atau pemerhati, memandangkan proses tersebut tidak melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Kita berpendirian pilihan raya mesti disertai secara menyeluruh, bukan secara berpilih-pilih kerana ramai pihak tidak diberi peluang untuk mengambil bahagian.
“Walaupun Piagam ASEAN menegaskan prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, isu Myanmar kini bukan lagi isu dalaman semata-mata,” katanya.
Menurut beliau, krisis di Myanmar memberi kesan langsung kepada negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia, termasuk kemasukan pelarian serta isu penipuan pekerjaan yang turut melibatkan Kemboja dan Thailand.
Mohamad berkata, Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dijangka dapat dimuktamadkan pada tahun ini sebagai sebahagian usaha berterusan menyelesaikan pertikaian di perairan berkenaan.







