
TEHERAN: Iran menegaskan kesediaannya berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berasaskan prinsip saling menghormati dan kepentingan bersama namun pada masa sama memberi amaran negara itu kekal bersiap siaga sekiranya konflik bersenjata tercetus.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Teheran terbuka kepada rundingan selagi ia dijalankan secara adil, bermaruah dan dari kedudukan yang setara antara kedua-dua pihak.
“Seperti yang saya nyatakan berulang kali, kami bersedia untuk berunding tetapi rundingan yang adil dan bermaruah, berasaskan saling menghormati serta kepentingan bersama,” katanya ketika berucap kepada kumpulan diplomat asing dalam satu pertemuan disiarkan secara langsung di televisyen negara itu.
Ucapan tersebut disampaikan ketika Iran memasuki minggu ketiga protes ganas yang melanda beberapa wilayah negara itu.
Kenyataan Araghchi hadir susulan dakwaan Presiden AS, Donald Trump mengenai Iran telah ‘menghubungi untuk berunding’, ketika Washington menimbang pilihan ketenteraan terhadap Tehran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei memaklumkan saluran komunikasi antara Araghchi dan Utusan Khas AS, Steve Witkoff masih terbuka dan mesej akan disampaikan sekiranya perlu.
Beliau turut mengesahkan beberapa cadangan serta idea telah dikemukakan oleh pihak AS kepada Iran.
Araghchi menegaskan tidak berhasrat untuk memulakan peperangan namun kekal bersedia sepenuhnya sekiranya keadaan memaksa.
“Kami tidak mahu perang, tetapi kami bersedia sepenuhnya malah lebih bersedia berbanding sebelum perang lalu,” katanya.
Menurut beliau, kesiapsiagaan itu merupakan langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan pihak lawan daripada membuat sebarang salah perkiraan.
“Sebabnya jelas, cara terbaik untuk mengelakkan perang adalah dengan bersiap sedia agar musuh tidak mengulangi kesilapan,” tegasnya.
AS sebelum ini terlibat dalam rundingan tidak langsung dengan Iran berhubung program nuklear negara itu, dengan beberapa pusingan perbincangan diadakan pada awal tahun 2025.
Namun, rundingan tersebut terganggu selepas Israel melancarkan serangan mengejut berskala besar ke atas Iran, sebelum Washington turut menyertai konflik dengan menyerang beberapa tapak nuklear utama negara itu.







