
SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif menghentikan sepenuhnya penternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang terbukti menjadi punca pencemaran sebelum memperkenalkan model penternakan moden dikendalikan oleh pihak swasta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menjelaskan langkah tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menekankan kepentingan menangani isu pencemaran daripada aktiviti penternakan di kawasan terbabit dengan segera.
Beliau menambah, penternakan tradisional dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pencemaran udara, bau yang tidak menyenangkan, pencemaran sumber air dan alam sekitar secara keseluruhan.
“Justeru, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penutupan operasi terbabit sebelum pemindahan ke tapak baharu dilaksanakan.
“Selagi kita tidak menamatkan pengurusan tradisional ini, selagi itulah pencemaran akan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata penternakan moden yang dicadangkan oleh pihak swasta akan dijalankan di Bukit Tagar, menggunakan tanah yang dibeli sepenuhnya oleh pengusaha tanpa melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri.
Beliau menambah, pelaksanaan di lokasi baharu itu akan tertakluk kepada kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan sistem kumbahan dan pengurusan sisa tidak menjejaskan sungai serta kawasan sekeliling.





