
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan parti itu tidak pernah terlibat dalam krisis politik di Perlis dan menolak dakwaan kononnya bertindak melemahkan Pas, sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan menegaskan parti itu tidak pernah terbabit dalam sebarang usaha menjatuhkan kepimpinan PAS di negeri berkenaan.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya BERSATU terlibat. BERSATU tidak pernah terlibat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, malam tadi.
Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas dakwaan BERSATU memainkan peranan dalam krisis politik Perlis yang tercetus bulan lalu, susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN, termasuk tiga daripada Pas, menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Shukri Ramli.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Perlis selepas Shukri meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Krisis politik itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan daripada Pas yang mendakwa berlaku pengkhianatan oleh rakan sekutu dalam PN.
Muhyiddin berkata, BERSATU hanya mengemukakan nama calon bagi jawatan Menteri Besar Perlis selepas diminta berbuat demikian oleh Pejabat Raja Perlis sekali gus menafikan dakwaan parti itu mengarahkan lima ADUN BERSATU menarik balik sokongan terhadap Shukri.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri turut menolak dakwaan kononnya BERSATU cuba mensabotaj Pas.
“Kami juga menafikan tuduhan kami adalah pengkhianat. Saya secara peribadi tidak terlibat langsung dalam perkara ini,” katanya.
Muhyiddin turut memaklumkan MPT BERSATU telah membincangkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Katanya, penjelasan terperinci telah diberikan kepada majlis tersebut berhubung faktor yang membawa kepada keputusan berkenaan.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan parti mengenai peletakan jawatan saya, MPT menghormati keputusan tersebut,” katanya.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MPT turut mendengar penjelasan daripada Abu Bakar Hamzah berhubung krisis politik di Perlis dan berpuas hati dengan keterangan yang diberikan.
Beliau berkata, MPT melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan bahawa BERSATU mengkhianati perjanjian antara komponen PN dan sekali lagi menegaskan parti itu tidak terlibat dalam krisis berkenaan.
Dalam kenyataannya, Azmin turut memaklumkan MPT meneliti hala tuju Perikatan Nasional sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).





