
KUALA LUMPUR: Kes rasuah yang melibatkan pegawai berpangkat tinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikategorikan sebagai sangat serius dan berskala besar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki menjelaskan tahap serius isu tersebut tercermin daripada kedudukan individu terbabit, iaitu kalangan pegawai atasan dalam agensi pertahanan negara.
“Cuba anda bayangkan betapa besarnya masalah ini berdasarkan pangkat mereka yang terbabit. Ia sememangnya sangat besar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di sini, hari ini.
Ketika mengulas mengenai keputusan menyambung tempoh reman bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya yang ditahan SPRM, Azam menjelaskan perkara itu akan ditentukan berdasarkan keperluan siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini kerana masih berbaki satu hari. Saya perlu menyemak dengan pegawai penyiasat.
“Kita mempunyai tempoh maksimum 14 hari reman. Jika esok genap tujuh hari dan siasatan memerlukan masa tambahan, kita akan memohon lanjutan reman di mahkamah,” katanya.







