
AYER KEROH: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat dakwaan kewujudan sebuah hotel butik di negeri ini yang dikatakan mengamalkan konsep ‘mesra gay’ seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan terperinci sedang dilaksanakan bagi menilai kesahihan dakwaan berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.
Beliau menambah, pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan awal selagi maklumat lengkap serta bukti kukuh belum diperoleh.
“Setakat ini, JAIM giat menyiasat dan kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal sehingga semua fakta dikenal pasti,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran dalam media sosial yang mendakwa kewujudan sebuah hotel di Melaka dengan konsep meraikan komuniti gay sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi satu hantaran yang mempersoalkan trend penjenamaan perniagaan menggunakan label friendly.
“Agak kreatif penjenamaan. Label Muslim friendly pun boleh dijadikan perniagaan, apatah lagi gay friendly. Selepas ini, apa pula idea kreatif yang akan muncul?” tulisnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet, termasuk pandangan yang mengkritik keras konsep berkenaan serta menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan.







