
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas “mana-mana dan semua” negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran.
“Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan membayar tarif 25 peratus bagi mana-mana dan semua urus niaga dengan AS.
“Perintah ini adalah muktamad dan konklusif,” kata Trump dalam satu kenyataan menerusi platform Truth Social.
Butiran tambahan mengenai duti import itu belum diperincikan setakat ini, menurut Anadolu Ajansi (AA).
Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan hingga mengorbankan nyawa bagi menyuraikan protes yang berlarutan.
Namun, kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Rumah Putih memaklumkan Trump berminat meneroka pendekatan diplomatik dengan Tehran.
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata, Trump tidak teragak-agak menggunakan kekuatan ketenteraan sekiranya penunjuk perasaan diserang, namun menegaskan diplomasi kekal sebagai pilihan utama.
Sementara itu, protes sokongan kepada kerajaan Iran diadakan di beberapa bandar termasuk Tehran, Kerman, Zahedan dan Birjand, dengan peserta menggesa penyelesaian masalah ekonomi serta menolak campur tangan asing dalam urusan dalaman negara itu.




