
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula saman sivil berjumlah RM1.9 juta yang difailkannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan saman berkenaan dibatalkan tanpa perbicaraan penuh.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM12,000 kepada responden seperti yang dimohon oleh peguam Tommy Thomas, Alan Adrian Gomez.
Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 25 November 2022 yang membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Dalam penghakimannya, Datuk Ravinthran berkata, Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Tommy Thomas, selaku Peguam Negara ketika itu, mempunyai imuniti mutlak daripada sebarang tindakan saman sivil dan tidak boleh diadili.
Namun, panel hakim yang turut dianggotai Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin mendapati tiada salah laku dalam tindakan yang diambil oleh Thomas berhubung kes-kes yang melibatkan Najib.
Menurut mahkamah, Tommy Thomas tidak mengetuai secara langsung pendakwaan terhadap Najib dalam empat kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan saman yang difailkan Najib tidak mempunyai merit untuk diteruskan dan rayuan berkenaan wajar ditolak.







