
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi membincangkan pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 selaras kurikulum baharu persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi itu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas bagi memastikan dasar berkenaan dilaksanakan secara lancar dan teratur.
Beliau berkata, pengusaha tadika swasta secara keseluruhan menyokong langkah tersebut sebagai usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak.
“Bagaimanapun, KPM turut mengambil kira kebimbangan dibangkitkan terutama berkaitan penyelarasan tempoh peralihan murid dari tadika ke sekolah rendah.
“KPM memandang serius setiap pandangan yang disuarakan dan akan meneliti isu-isu berkenaan secara terperinci bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata, sesi libat urus itu mencerminkan komitmen KPM untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam merangka dasar pendidikan yang inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kurikulum baharu persekolahan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027 melibatkan murid Tahun Satu dan pelajar tingkatan satu di seluruh negara, manakala pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu telah bermula lebih awal iaitu pada tahun ini.







