
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan Pameran Pesta Bola Merdeka yang mengetengahkan bola sepak sebagai simbol penyatuan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya, dari 31 Ogos hingga 31 Dis 2026.
Dalam kenyataan hari ini, KPN memaklumkan pameran selama empat bulan itu bertempat di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur, bagi mengangkat bola sepak sebagai sebahagian daripada perjalanan sejarah negara yang membentuk semangat kebangsaan, perpaduan dan identiti Malaysia.
“Melalui pameran ini, sejarah dan perkembangan bola sepak dipamerkan sejak sebelum kemerdekaan, peranannya ketika era perjuangan kemerdekaan, sehingga kini menjadi sukan yang paling dekat di hati rakyat Malaysia.
“Masyarakat berpeluang mengimbau detik-detik bersejarah yang mencorakkan perjalanan bola sepak negara serta menghargai sumbangan tokoh-tokoh penting dalam membangunkan bola sepak negara seiring dengan perjuangan mencapai kemerdekaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata bola sepak bukan sekadar permainan, malah menjadi medium yang menyatukan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan latar belakang.
“Bola sepak bukan sekadar permainan, tetapi menjadi medium yang menyatukan rakyat Malaysia. Sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, bola sepak telah menjadi sebahagian daripada denyut nadi masyarakat, merentasi kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata semangat kesukanan yang dibina melalui bola sepak turut mencerminkan semangat perjuangan dan kecintaan terhadap tanah air yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang merdeka.
Pameran dibuka secara percuma kepada orang awam dari 9 pagi hingga 5 petang, dan orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung serta menerokai bahan pameran yang mengetengahkan sejarah, perkembangan dan peranan bola sepak dalam pembinaan negara bangsa. – BERNAMA






