
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh pengurusan saliran mesra alam dengan mengintegrasikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bersama dengan inovasi kejuruteraan dan teknologi digital, bagi meningkatkan daya tahan bandar menghadapi perubahan iklim serta kejadian cuaca ekstrem.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pendekatan itu turut dipacu analisis data termaju, pemodelan ramalan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital bagi membantu memperkukuh keupayaan membuat keputusan serta kesiapsiagaan bandar menghadapi cabaran masa depan.
“Keupayaan teknologi ini boleh membantu kita membuat keputusan dan memperkukuh bandar-bandar kita, bagi mendepani masa depan yang semakin sukar diramal.
“Daya tahan pengurusan air hujan juga memerlukan pendekatan menyeluruh khususnya daripada kerajaan, industri dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof, merasmikan National Conference on Stormwater Management (SWaM) 2026, di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata persidangan SWaM 2026 selama empat hari yang bermula semalam, merupakan platform kebangsaan bagi penggubal dasar, agensi kerajaan dan swasta, pemimpin industri, ahli akademik serta komuniti untuk merangka penyelesaian bersepadu dalam menghadapi cabaran pengurusan air hujan dan pembangunan bandar.
Beliau berkata usaha membina bandar yang lebih berdaya tahan, memerlukan penglibatan aktif semua sektor termasuk jurutera, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, penyelidik, ahli akademik, sektor swasta dan pemaju.
Abdul Rahman berkata idea yang dikongsikan, jalinan kerjasama serta komitmen yang dilaksanakan sepanjang persidangan itu, dapat menyumbang ke arah memperkukuh pengurusan air hujan dan kesiapsiagaan Malaysia menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib berkata pihaknya terus mengemas kini piawaian teknikal dan keupayaan institusi, bagi menghadapi perubahan iklim serta pembangunan pesat.
“Pada masa ini, kami sedang melaksanakan semakan semula secara menyeluruh bagi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
“Edisi Ketiga MSMA ini mencerminkan komitmen kami terhadap penambahbaikan berterusan, bagi memastikan pengurusan yang sewajarnya bermula sebaik sahaja tanah mula dibangunkan.
“Melangkah ke hadapan, inovasi digital merangkumi AI, Digital Twins, pemantauan masa nyata dan analitik ramalan akan membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak,” katanya.
Radzi berkata JPS turut meneruskan perancangan jangka panjang melalui Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA), dengan 38 kajian PISMA telah disiapkan dan lima lagi sedang dijalankan bagi mengukuhkan perancangan serta pelaburan untuk kawasan bandar di seluruh Malaysia.
SWaM edisi kelima yang bertemakan Inspired by Nature, Engineered for Resilience dianjurkan JPS dan Malaysian Stormwater Organisation (MSO), dengan River Engineering and Urban Drainage Research Centre (REDAC) serta The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) sebagai penganjur bersama.
Persidangan itu menghimpunkan hampir 400 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi profesional, akademia dan industri bagi perkongsian ilmu, jaringan profesional serta inovasi dalam pengurusan air hujan.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Malaysia Stormwater Awards 2026 yang julung kali diadakan kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah JPS Datuk Ir Ahmad Fuad Embi yang menerima plak dan sijil. – BERNAMA





