
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membantu lima buah syarikat tempatan yang bakal memuktamadkan urus niaga bersama rakan niaga di Arab Saudi bernilai hampir RM2 bilion sempena Makkah Halal Forum 2026.
Syarikat terbabit merupakan Jaman Tory Group Sdn. Bhd., A&A Empire Sdn. Bhd. (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn. Bhd.
Makkah Halal Forum 2026 bertemakan Halal: Industri Profesional merupakan edisi ketiga akan berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini menyediakan platform antarabangsa untuk membina sistem halal yang boleh dipercayai dan telus, bebas daripada amalan tidak teratur serta menolak sebarang unsur tidak profesional.
Forum berkenaan turut menggalakkan penerapan amalan terbaik global dan meningkatkan kepercayaan terhadap produk serta perkhidmatan halal di seluruh dunia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, buat julung kali, KUSKOP melalui Bank Rakyat melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan (hand holding) memadankan perniagaan Malaysia dengan pasaran export sehingga berjaya.
“Program kali ini berjaya membantu syarikat Malaysia merealisasikan potensi nilai jualan yang bernilai hampir RM2 bilion melalui platform tersebut.
“Arab Saudi menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik dan pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk serta jenama Malaysia kepada komuniti global khususnya dalam ekosistem halal yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Bank Rakyat sebagai agensi di bawah KUSKOP menyokong inisiatif tersebut melalui penyediaan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat di dalam melaksanakan pengembangan pasaran perniagaan masing-masing ke Timur Tengah.
Katanya, kelima-lima syarikat itu merupakan pelanggan sedia ada di dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa.
Program rintis berkenaan akan diteruskan dalam membimbing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang lain untuk menembusi pasaran domestik dan luar negara sejajar dengan Strategi ABCD yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.






