
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi tumpuan kepada usaha penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemerkasaan sektor ketiga bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) sebagai tunjang pembangunan sosioekonomi rakyat.
Menterinya, Steven Sim berkata, KUSKOP telah merangka sebanyak 217 program bagi tahun ini untuk memastikan setiap perancangan dapat digerakkan dengan berkesan.
“Inisiatif ini disokong oleh peruntukan berjumlah RM754 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK-13 selain mengoptimumkan peruntukan dalaman Kementerian serta agensi masing-masing.
“Pelaksanaan menyeluruh ini disasarkan bakal memberi impak signifikan kepada lebih 400,000 usahawan, bakal usahawan serta koperasi di seluruh negara demi memastikan mereka kekal kompetitif dalam landskap ekonomi semasa,” katanya dalam amanat Menteri KUSKOP di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau menambah, tumpuan KUSKOP terarah kepada peningkatan skala perniagaan khususnya dalam bidang strategik dan berpertumbuhan tinggi.
Selain itu, Steven berkata, tumpuan turut diberi kepada adaptasi model perniagaan inovatif dan mempercepat penerapan automasi dan pendigitalan serta amalan hijau.
“Saya telah merangka strategi khusus yang akan menjadi teras dalam melaksanakan inisiatif keusahawanan secara komprehensif, pantas dan efektif untuk memacu kelestarian ekonomi PMKS serta koperasi bagi tempoh dua tahun pertama RMKe-13.
“Strategi yang dimaksudkan adalah strategi empat serangkai dikenali ‘ABCD’ merujuk kepada Anjakan Produktiviti (A), Birokrasi Dipermudah (B), Capaian Modal (C) dan Daya Akses Pasaran (D),” ujarnya.
Beliau menjelaskan, bagi memastikan keberhasilan Strategi ABCD, pemerkasaan sistem penyampaian menerusi transformasi radikal bukan lagi satu pilihan malah ia adalah satu keperluan mandatori.
Sehubungan itu, beliau berkata, Agenda Rekayasa KUSKOP akan menjadi sebagai teras utama bagi memacu perubahan tersebut.
“Melalui Inisiatif Rekayasa, Kementerian menzahirkan iltizam yang teguh untuk mentransformasi seluruh ekosistem penyampaian perkhidmatan secara holistik.
“Langkah ini bukan sekadar semakan prosedur, malah bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran mesra perniagaan (business-friendly environment) yang lebih kondusif bagi memperkukuh kedudukan usahawan PMKS serta gerakan koperasi sebagai enjin utama pemacu ekonomi negara,” katanya.
Steven berkata, bagi menjamin keberhasilan agenda tersebut, fokus rekayasa akan ditumpukan secara tuntas kepada aspek-aspek pengurangan proses kerja, penghapusan kadar fi yang tidak diperlukan dan pengurangan kadar faedah.
Beliau menambah, aspek lain adalah mempermudah proses dengan menambah baik sistem permohonan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan (cost of doing business).







