
KUALA LUMPUR : Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memaklumkan pihaknya mengambil maklum penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pengisytiharan pegangan saham yang dibangkitkan.
Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohammad Salim Fateh Din menjelaskan, urusan berkaitan pengisytiharan harta tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) selaras dengan peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Awam.
Menurut beliau, langkah itu sekali gus menunjukkan prosedur yang ditetapkan dalam kerangka tatakelola perkhidmatan awam telah dipatuhi sebagaimana yang digariskan.
“Ia selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohammad Salim, integriti SPRM sebagai institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan yang tidak berasaskan fakta.
“Apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” katanya.
Beliau menambah LPPR ialah salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan memainkan peranan menasihati, meneliti serta menilai perjalanan SPRM dari sudut dasar, strategi, tadbir urus dan keberkesanan pelaksanaannya.
Baru-baru ini, laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki 17.7 juta unit saham Velocity, syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Namun Azam ketika memberi respon terhadap dakwaan itu memberitahu beliau telah melepaskan semua pegangan saham sejak Julai tahun lalu dan mengisytiharkannya melalui Sistem HRMIS kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Nilai saham itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan penutupan dagangan Isnin lalu.






