Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini secara rasmi melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 (PPUW), sebuah inisiatif untuk memperkasakan usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Program yang menawarkan bimbingan keusahawanan berstruktur ini bertujuan membantu veteran ATM dan keluarga mereka mencapai kelestarian kewangan jangka panjang.
Pelancaran program ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bahawa program ini selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, yang menekankan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia, khususnya para wira-wirawati negara selepas mereka bersara.
“Ikhtiar ini adalah sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia, khususnya kepada para wira-wirawati negara selepas bersara.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasakan ekonomi veteran ATM tetapi juga sebagai bukti komitmen dan keprihatinan LTAT terhadap kesejahteraan mereka yang telah banyak berkorban demi kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian program berkenaan di sini, hari ini
PPUW dirangka sebagai satu program pembangunan kapasiti yang komprehensif, yang merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor-mentee, pembelajaran dalam talian, serta penguasaan literasi kewangan.
Program ini menyasarkan seramai 35 usahawan veteran dalam kategori B40 dan akan dijalankan sepanjang enam bulan.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, beliau menekankan bahawa LTAT serius dalam memenuhi mandat untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosio-ekonomi bagi anggota ATM.
Selain memastikan pemberian dividen yang mampan kepada pencarum, LTAT turut komited dalam melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang menyokong aspirasi Kementerian Pertahanan dalam membangun ekosistem ekonomi yang inklusif dan mampan untuk veteran ATM.
“Usaha ini merupakan manifestasi keikhlasan LTAT dalam memastikan masa depan yang lebih mampan bagi para pencarum. Kami berterusan memberikan sokongan dan peluang untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi veteran ATM,” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, LTAT menjalinkan kerjasama strategik dengan People Systems Consultancy (PSC), sebuah firma latihan keusahawanan yang telah melatih lebih 100,000 peserta, dengan lebih 70% berjaya meningkatkan pendapatan mereka dalam masa tiga bulan selepas mengikuti program mereka.
Kerjasama ini akan memastikan veteran ATM menerima latihan keusahawanan yang berkualiti, bertujuan memberi mereka kemahiran untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Selain PPUW, LTAT turut menggariskan beberapa inisiatif lain di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan agenda strategik GEAR-uP.
Ini termasuk modul literasi kewangan yang bertujuan meningkatkan kefahaman kewangan di kalangan veteran, serta peluang penempatan kerjaya kedua melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Kesemua program ini adalah sebahagian daripada sistem sokongan komprehensif yang dibangunkan oleh LTAT untuk memastikan veteran ATM dapat terus menikmati kehidupan yang lebih baik selepas perkhidmatan mereka.
Dengan pelaksanaan Program Pemerkasaan Usahawan Wira ini, LTAT dan Kementerian Pertahanan terus menunjukkan komitmen mereka dalam membina masa depan yang lebih cerah dan mampan bagi veteran ATM, yang telah banyak berjasa kepada negara.
