
Kuala Lumpur: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerima peruntukan sebanyak RM4.95 bilion di bawah Belanjawan 2025, dengan fokus utama kepada penyelesaian tenaga lestari, penambahbaikan sistem bekalan air, dan usaha pengurusan banjir.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika menggulung perbahasan di peringkat jawatankuasa Belanjawan 2025.
Dalam ucapan penggulungan, Akmal Nasrullah memberi penjelasan mengenai pecahan peruntukan yang melibatkan RM362.37 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.59 bilion untuk belanja pembangunan.
Sebanyak 484 projek telah diluluskan di bawah belanjawan ini, dengan 35 projek baharu dan 449 projek sambungan.
Inisiatif-inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama: tenaga, bekalan air, pembetungan, dan pengurusan banjir.
Salah satu fokus utama yang ditekankan adalah komitmen negara untuk mencapai Net Zero Karbon Emissions menjelang 2050.
Dalam usaha ini, kementerian berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu dan menggalakkan penggunaan gas sebagai bahan api peralihan.
PETRA juga terus mempergiatkan pelaksanaan program tenaga boleh baharu (TBB) seperti FiT, NEM, dan CRESS untuk mencapai kapasiti TBB sebanyak 70%.
Selain itu, kementerian juga meneroka penggunaan teknologi baru untuk penjanaan elektrik, termasuk Battery Energy Storage System (BESS), pump hydro storage, carbon capture storage (CCS), serta teknologi nuklear seperti Small Modular Reactor (SMR).
Dalam bidang pengurusan air, Akmal Nasrullah mengumumkan pelaksanaan Program NRW Kebangsaan dengan kos RM2.525 bilion yang bertujuan meningkatkan pengurusan air di seluruh negara.
Program ini melibatkan penggantian paip kritikal dan usaha pengurangan Non-Revenue Water (NRW) di enam negeri utama.
Projek ini dijangka bermula pada tahun 2025 dan berlanjutan hingga 2030.
Dalam usaha menangani isu banjir Kementerian memperuntukkan sejumlah besar dana untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
Antaranya projek RTB Sungai Kenau di Paya Besar dengan peruntukan RM17.3 juta dijangka siap menjelang 2026.
Projek ini akan mengurangkan kawasan banjir dari 46 hektar kepada hanya 4 hektar.
Selain itu, beberapa projek tebatan banjir juga sedang dilaksanakan di Klang, Shah Alam, dan Sungai Kapar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.77 bilion.
Dalam ucapan penutupannya, Akmal Nasrullah turut mengakui pelbagai cadangan dan teguran yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan kali ini.
Beliau menegaskan bahawa kementerian akan terus memantau dan meneliti semua isu-isu tersebut, termasuk cadangan penggunaan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI) dalam pengurusan banjir dan tenaga.
Kementerian juga komited untuk memastikan bahawa setiap projek yang dilaksanakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam menangani cabaran-cabaran utama seperti bekalan air, tenaga, dan pengurusan bencana.