SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk mendengar permohonan Ismanira Abdul Manaf bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dua tahun lalu.
Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Pendaftar Kanan, Nadiah Misman, selepas peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira memfailkan permohonan berkenaan pada hari ini.
Pada 31 Oktober lalu, Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya setelah didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik tersebut sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal.
Hakim Syahliza Warnoh mengenakan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan Ismanira memulakan hukuman penjara pada 31 Oktober, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM3,000.
Selain itu, dia diarahkan menjalani 120 jam khidmat masyarakat yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
