
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nepal yang sebelum ini disiasat kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing di sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Shah Alam kini direman selama 14 hari lagi selepas didapati bekerja tanpa permit.
Pemangku Ketua Polis Shah Alam, Ramsay Embol, memaklumkan suspek berusia 33 tahun itu memiliki pasport yang masih sah, namun tidak mempunyai permit pekerjaan.
Katanya, lelaki tersebut dipercayai sudah berada di Malaysia selama enam tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan sejak dua bulan lalu.
“Semakan awal mendapati lelaki Nepal yang masih bujang itu tidak mempunyai permit kerja.
“Reman imigresen dilanjutkan 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri yang baru pulang ke kediaman mereka terlihat seorang lelaki dalam keadaan berbogel dipercayai meliwat seekor kucing di tingkat empat pangsapuri tersebut.
Suspek kemudiannya didakwa mencampakkan kucing itu ke tingkat bawah sebelum melarikan diri.
Berikutan kejadian itu, lelaki berkenaan ditahan pada pukul 4.45 pagi Sabtu lalu dan direman lima hari sehingga 19 Nov bagi siasatan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan serta Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan ketika suspek berada di bawah pengaruh alkohol.






